Thursday, September 30, 2010

Black Bass / Kanai Sabah!


Ikan Kanai mungkin agak asing bagi pemancing di Malaysia namun dikalangan pemancing profesional ikan ini begitu digilai. Mereka sanggup berhabis ribuan ringgit untuk merasai cabaran dan tarikan ikan yang mendiami kawasan muara ini.

Di kalangan pemancing profesional ia dikenali dengan nama Black Bass atau nama saintifiknya micropterus striata ia termasuk dalam keluarga ikan bass yang terkenal dengan kelasakannya.

Ia digilai pemancing kerana sifatnya yang gemar membaham gewang tanpa belas kasihan dan ada ketikanya melakukan aksi akrobatik di atas permukaan air.

Secara umumnya, Ikan Bass terbahagi kepada lebih 20 spesis namun terdapat beberapa spesis yang popular antaranya Black Bass, Largemouth Bass, Shoal Bass, Peacock Bass, Suwannee Bass dan sebagainya.

Ikan Black Bass membiak antara bulan February hingga Jun iaitu ketika suhu air mencecah antara 65 – 68’ F.

Ikan Black Bass dikenalpasti mendiami di beberapa bahagian muara di perairan Amerika, Australia dan Papua New Guinea. Papua New Guinea (PNG) mendahului negara lain dari segi aktiviti memancing ikan ini, malah ia dijadikan satu industri yang besar terutama dari segi kemudahan infrastruktur yang berkaitan sukan memancing ikan black bass. Ramai pemancing profesional menjadikan PNG sebagai lokasi wajib setiap tahun untuk menduga spesis ini.

Di Amerika spesis Bass dikenali sebagai ‘King of fresh water’. Manakala di Australia, AGFA atau Australia Games Fishing Association mengiktiraf Black Bass sebagai ikan muara terhandal di dunia.

Di Malaysia spesis black bass ditemui mendiami kawasan muara sungai yang menganjur sehingga ke laut Sulu di Sabah. Kisah kehebatan ikan ini yang disiarkan di majalah malah mendapat perhatian hangat dikalangan pemancing Malaysia terutama yang menganggap memancing adalah satu aktiviti sukan yang menyihatkan telah mendorong krew Jelajah Joran terbang ke Sabah.


Friday, July 2, 2010

Merah suman Lubuk cincin


Oleh Zainuddin Ismail @ Umbai

KUALA TERENGGANU: Selepas tengkujuh di Pantai Timur berakhir, semangat kami untuk meneroka ke lubuk bersama tekong Taha di perairan Terengganu begitu berkobar-kobar.

Ekspedisi kali ini diketuai Zul GT dengan kumpulan turut disertai penulis, Najib Nordin Ahmad, Zairul Azman, Jamal Abd Jalil, Mohd Jaib Haron dan Norihan Rejab.

Perjalanan selama 18 jam menuju Lubuk Cincin satu pengalaman yang amat membosankan. Penulis bertanya kepada Taha kenapa lubuk berkenaan dipanggil cincin.

"Di sinilah cincin saya jatuh ke laut masa menarik tali pancing. Sebab itu, kami panggil kawasan ini Lubuk Cicin," katanya disambut ketawa rakan yang lain.

Ketika dalam perjalanan, Taha berhenti beberapa kali apabila bertembung kumpulan ikan selar dan dipancing menggunakan apollo untuk dijadikan umpan memancing.

Kami tiba di Lubuk Cincin hampir petang, Taha melabuhkan sauh betul-betul di atas lubuk berkenaan setelah memastikan kordinat GPS yang betul. Sebaik saja bot berhenti kami berlumba-lumba mencampakkan umpan selayang dan sotong yang dibeli di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Mata kail bersaiz 4 dan 5 menjadi taruhan kami kali ini. Ia dipadankan dengan batu ladung bersaiz 14 dan 16 kerana arus agak pelahan. Manakala tali perambut sepanjang lebih 3 meter amat sesuai pada waktu ini.

Walaupun hanya memancing merah suman namun peralatan memancing masing-masing gunakan amat menggerunkan. Bayangkan jenama Shimano, Penn, Daiwa, Saltiga Stella yang berharga lebih RM3,000 setiap satu dijadikan taruhan untuk bertarung ikan di sini.

Bayangkan kalau kekili jenama mahal ini dijual pastinya bertong-tong ikan dapat dibeli, kata penulis. "Kepuasan tak dapat dibeli Umbai," jerit Jamal sambil menunjukkan ibu kerisi kepada penulis.

"Semua bersedia. Di bawah ada banyak merah suman. Jaga-jaga! Jangan putus atau terlucut. Nanti suman lari," Zul Gt memberi peringatan. Tanpa diduga hampir semua joran kami diragut merah suman serentak. Bunyi tali pancing disentap berirama silih berganti depan dan belakang bot.

Norihan satu-satunya pemancing wanita dalam bot kami tenang dengan kekili elektriknya menaikkan satu persatu merah suman. Suaminya, Mohd Jaib membiarkan Norihan melakukan semuanya sendiri. Mungkin Norihan berada betul-betul di atas gerombolan merah suman. Apabila saja umpan jatuh di kedalaman kira-kira 40 meter pasti joran menerima henjutan. Dengan hanya sentuhan butang pada kekili elektriknya pasti merah suman terjuntai di hujung jorannya.

Kunjungan kami di Lubuk Cincin kali ini cukup menjadi. Mungkin kami yang pertama di lubuk ini selepas musim tengkujuh. Rata-rata saiz merah suman kali ini antara 4 hingga 5 kilogram tiap seekor. Zairul paling lasak dalam kumpulan kami. Beliau paling banyak menaikkan merah suman. Penulis yang duduk berhampiran turut berkongsi keseronokan apabila kekili Penn GTI hadiah seorang sahabat dari Terengganu kerap menerima sentapan setiap kali umpan sotong jatuh ke dasar. Petang itu saja penulis berjaya menaikkan 12 merah suman.

Jamal seorang jurulatih polis di ibu kota jadi penghibur kami. Setiap kali kekili Penn Senator menjerit, beliau turut menjerit sekuat hati. Setiap kali ikan dalam gengaman, beliau akan mengejek rakan yang lain. Jamal juga akan menyanyikan lagu `Gelisah' yang dipopularkan Ahmad Jais jika umpannya tidak disentuh mangsa dari bawah bot.

Tiba-tiba Zul GT menjerit: "Angkat joran! Angkat joran! Angkat joran cepat!."

Kocakan air di belakang bot meriuhkan suasana dalam bot. Penulis hairan dengan situasi itu dan terpinga-pinga menggulung tali pancing. Rupa-rupanya merah suman yang sedang kami naikkan menarik perhatian sekumpulan ikan gerepoh bersaiz bagak. Lima ikan merah suman kami hilang sekerat badan serentak dibaham spesies pertengahan air kerana tidak sempat menaikkan ke dalam bot.

Pengalaman penulis selama 4 hari 3 malam cukup menyeronokkan. Dengan tangkapan 126 merah suman, 17 kerapu, ibu kerisi, berpuluh ikan pisang dan lain-lain tentunya kami sangat puas hati dengan hasil Lubuk Cincin.

Kami bertekad untuk kembali lagi pada September ini. Menurut Taha, pada waktu itu merah suman akan kembali ke Lubuk Cincin sebelum tengkujuh melanda hujung tahun. Sesiapa berminat untuk menyertai ekspedisi bersama Taha hubungi Zul GT:012-2644941

Saturday, April 10, 2010

GP Joran Kuala Pahang heboh tapi meriah!













SALAM! Musim GP Joran sudah bermula! Lihat gambar-gambar ini! Seramai hampir 750 kaki pancing kini sedang bertarong di Laut Cina Selatan untuk menjadi juara pusingan pertama. Saya sempat bersama kawan-kawan di jeti Kuala Pahang. Suasana heboh tetapi meriah. Buat kali pertamanya, 8 orang pengail dari TV3 mengambil bahagian. Sambil memancing, mereka juga merakamkan aktiviti kawan-kawan dalam bot lain. Memang best! TV3 akan menyiarkan rakaman ini dalam siri barunya yang berjodol Jelajah Joran. Siaran dijangka bermula pertengahan Mei. Saya berpeluang merakamkan gambar2 kaki pancing yang datang berduyun-duyun ke jeti. Ada juga isteri yang datang menghantar suami mereka ke laut dengan iringan doa dan harapan. Sama2 kita tunggu hasil tangkapan mereka. Saya bagi tahu pada kawan2 di TV3 supaya jangan naik ke darat selagi tak dapat tenggiri besar! AAT aka Pahit Manis.

Monday, April 5, 2010

TV3, BH promosi destinasi memancing


KUALA LUMPUR: Bagi mempromosikan pelancongan dalam negara terutama destinasi memancing, TV3 dengan kerjasama Unit Joran Berita Harian akan mengadakan ekspedisi tiga hari ‘Boat on The Road’ pada 7 Mei ini.
Kini dibuka untuk pendaftaran, ekspedisi itu dijangka menarik lebih 100 penyertaan, terutama pemilik kenderaan pacuan empat roda dengan tiga lokasi memancing menjadi pilihan.
Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib, berkata ekspedisi itu berkonsepkan aktiviti keluarga dan peserta dilepaskan secara konvoi di perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama ke destinasi cadangan seperti di Lumut dan Pulau Banding, Perak; Kuala Rompin, Pahang atau Kemaman di Terengganu. Bagaimanapun destinasi yang dipilih akan diumumkan tidak lama lagi.
“Peserta disyaratkan membawa (menarik) bot gentian kaca atau aluminium sendiri ke lokasi ditetapkan,” katanya pada sidang media di Balai Berita, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Produksi Majalah dan Dokumentari TV3, Zainal Ariffin Ismail; Pengarah dan Pengacara Jelajah Joran, Nasir Yusof; Pengurus Projek Berita Harian, Mohd Mizal Hasbullah dan Editor Lidah Pengarang Berita Harian, Mohd Kamal Ahmad.
Ahmad yang juga pengerusi program berkata, ekspedisi itu juga adalah sebagai tanda kerjasama antara TV3 dengan Berita Harian yang dikenali kerana kejayaan penganjuran acara tahunan pertandingan memancing, GP Joran.
Selain itu ekspedisi itu adalah untuk mempromosikan program terbaru terbitan TV3, Jelajah Joran yang bakal menemui penonton pertengahan bulan bulan depan.
Ahmad berkata, pada ekspedisi itu, penganjur mengamalkan dasar ‘siapa cepat dia dapat’ dan mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat dengan menghubungi Unit Joran Berita Harian atau melalui sisipan Joran setiap Sabtu atau Facebook di carian Joran.
Sementara itu, Nasir berkata, rancangan Jelajah Joran dipenuhi pelbagai maklumat aktiviti memancing serta mengajar penonton mengenai etika, panduan, produk terkini dan selok-
belok memancing.
“Jelajah Joran yang disiarkan selama setengah jam memaparkan destinasi menarik seperti di Tasik Kenyir, Hutan Royal Belum dan perairan Laut China Selatan. Pada penghujung program disiarkan kaedah terkini memancing, kuiz berserta hadiah.
“Untuk menyertai kuiz, penonton perlu mendapatkan borang di sisipan Joran dan soalan yang diberikan berkisar mengenai sepanjang program berkenaan,” katanya.
Untuk maklumat mengenai ekspedisi itu, orang ramai boleh menghubungi Zainudin Ismail di talian 013-3310166 atau 03-22823131 (sambungan 4241/4242) dan Osman Lisut menerusi emel manjoran@yahooo.com atau 016-6359023.

Wednesday, March 17, 2010

Kerapu Burma



Oleh Mohammad Shamwen Hashim

THAILAND: Memancing di luar negara sudah menjadi agenda wajib bagi kumpulan, Crossing Border Angler’s Team (CBAT) bagi menutup tirai 2009. Lebih-lebih cuti sekolah, peluang keemasan itu diambil bagi merealisasikan hasrat itu.

Jika perairan Koh Adang dan sekitarnya dipilih sebagai lokasi menutup tirai 2008, kali ini, CBAT memilih trip ke Permatang Burma (Burma Bank) di Myanmar. Pastinya kertang gergasi atau kerapu minyak yang dikenali sebagai ‘Pak Hitam’ banyak mendiami terumbu karang berbukit-bukau di perairan itu.

Rata-rata pemancing yang pernah berkunjung ke Permatang Burma pasti teruja dengan aksi ‘Pak Hitam’, lebih-lebih lagi saiznya seperti anak kerbau baru seminggu lahir dan sukar dikawal.

Tidak hairanlah, pemancing yang pernah menaikkan kertang gergasi ini ‘merungut’ dek keletihan akibat diasak hingga tiada peluang berehat seketika. Namun, melihat kelibat ‘Pak Hitam’ di permukaan air, pemancing pasti tersenyum puas.


Justeru, untuk merealisasikan impian ke Burma Bank bukanlah mudah seperti disangkakan. Ini kerana pemancing terpaksa menghadapi pelbagai karenah birokrasi selain kos tinggi termasuk permit memancing US120 (RM408) seorang.

Untuk pergi ke sarang ‘Pak Hitam’, bot perlu disewa di Pak Bara, Thailand. Pemancing juga terpaksa mengharungi perjalanan selama lapan jam untuk sampai di Ranong. Perjalanan diteruskan ke Kawthaung, iaitu bandar bersempadan dengan Thailand dan Myanmar melalui jalan laut.

Sebagai syarat tambahan, seorang anggota polis ditempatkan bersama pemancing di atas bot atas faktor keselamatan sepanjang trip memancing ini.

Perjalanan kemudian diteruskan ke terumbu karang Burma Bank yang mengambil masa lebih 10 jam. Perairan ini dilihat sesuai untuk semua teknik memancing sama ada jigging, popping atau pancingan dasar yang mencapai kedalaman 300 meter.

Sebagai rahsia untuk menewaskan kertang hitam yang mencapai puluhan kilogram beratnya, pemancing perlu menggunakan joran heavy duty dan kekili elektrik. Untuk mengkarau tali pada kedalaman ini amat sukar, lebih-lebih lagi jika terkena ikan bersaiz bagak. Silap hari bulan, mahu bersimpul urat lengan dan tercabut sendi!

Bagaimanapun, untuk menaikkan kerisi bali bersaiz belasan kilogram, kekili dan joran sederhana sudah memadai kerana ikan ini cepat letih serta mudah ditewaskan.

Kami yang tiba di lubuk kertang hitam ini tidak menang tangan melayan ikan yang galak memakan umpan ikan sardin serta selayang sehingga umpan dua tong Coleman habis. Dalam keadaan kekalutan itu, mujurlah ahli kumpulan membuat tempahan ikan tongkol tambahan daripada tekong. Nyata langkah itu berbaloi

Riuh rendah dibuatnya dengan suara pemancing dan desingan kekili elektrik menaikkan satu persatu kertang Myanmar. Roslan Public Bank lebih hebat dengan Command X8 yang baru dibelinya. Beliau menaikkan empat kertang gergasi hingga beliau ‘tumbang’ semalaman akibat keletihan.

Penulis juga sempat menaikkan dua kertang yang tidak kurang hebat aksinya. Nyata kehebatan Pak Hitam Burma Bank tidak boleh dinafikan. Ini membuatkan kumpulan CBAT awal-awal lagi menempah bot dengan tekong yang sama untuk kembali menyahut cabaran yang dilihat wajib dijadikan acara tahunan.

Selepas mengharungi trip empat hari tiga malam memancing di Burma Bank, pemancing CBAT berjaya memunggah lebih dua tan pelbagai spesies ikan dan dibahagi sama rata sebelum sebahagiannya dijual kepada peraih di Pak Bara.






Wednesday, March 10, 2010

Jom ke Pulau Banding cari sebarau!

SALAM! Apabila saya diberitahu Joran dan ada blog, saya tak buang masa. Mari kita berkongsi cerita pancing. Cerita saya pendek saja. Saya ke utara, ke Pulau Banding. Hampir 4 jam perjalanan melalui Kuala Kangsar dan Gerik. Jika kita tengok gambar2 yang saya muatkan di sini, mesti ada sebarau, toman dan kaloi. Kalau ikut kata Azman, seorang teman yang sering ke Pulau Banding untuk memancing, memang ada sebarau dan toman di sini. Saya ke sana dua bulan lalu dengan anak dan anak2 buah. Kami tinggal di teratak buluh di situ. Tempatnya tenang, aman dan damai. Dapat ikan? Nasib tidak memihak kami. Air besar di tasik itu kerana kami pergi musim hujan. Namun, semua ok kerana tujuan asal ialah untuk berihat dan melancong. Kalau ada rezeki, kami akan ke sana lagi. Kali ini, tujuan ialah untuk memancing sepuas-puasnya! Nak cari baung besar. Dan kaloi - Pahit Manis.



Wednesday, March 3, 2010

Salam Cyber Warga Joran

Assalamualaikum,

Salam perkenalan untuk semua peminat Joran Berita Harian dan kaki pancing keseluruhannya. Blog ini adalah untuk menceritakan segala pengalaman kami dalam menganjurkan setiap pertandingan Joran di seluruh Malaysia.

Joran Kita!