Friday, July 2, 2010

Merah suman Lubuk cincin


Oleh Zainuddin Ismail @ Umbai

KUALA TERENGGANU: Selepas tengkujuh di Pantai Timur berakhir, semangat kami untuk meneroka ke lubuk bersama tekong Taha di perairan Terengganu begitu berkobar-kobar.

Ekspedisi kali ini diketuai Zul GT dengan kumpulan turut disertai penulis, Najib Nordin Ahmad, Zairul Azman, Jamal Abd Jalil, Mohd Jaib Haron dan Norihan Rejab.

Perjalanan selama 18 jam menuju Lubuk Cincin satu pengalaman yang amat membosankan. Penulis bertanya kepada Taha kenapa lubuk berkenaan dipanggil cincin.

"Di sinilah cincin saya jatuh ke laut masa menarik tali pancing. Sebab itu, kami panggil kawasan ini Lubuk Cicin," katanya disambut ketawa rakan yang lain.

Ketika dalam perjalanan, Taha berhenti beberapa kali apabila bertembung kumpulan ikan selar dan dipancing menggunakan apollo untuk dijadikan umpan memancing.

Kami tiba di Lubuk Cincin hampir petang, Taha melabuhkan sauh betul-betul di atas lubuk berkenaan setelah memastikan kordinat GPS yang betul. Sebaik saja bot berhenti kami berlumba-lumba mencampakkan umpan selayang dan sotong yang dibeli di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Mata kail bersaiz 4 dan 5 menjadi taruhan kami kali ini. Ia dipadankan dengan batu ladung bersaiz 14 dan 16 kerana arus agak pelahan. Manakala tali perambut sepanjang lebih 3 meter amat sesuai pada waktu ini.

Walaupun hanya memancing merah suman namun peralatan memancing masing-masing gunakan amat menggerunkan. Bayangkan jenama Shimano, Penn, Daiwa, Saltiga Stella yang berharga lebih RM3,000 setiap satu dijadikan taruhan untuk bertarung ikan di sini.

Bayangkan kalau kekili jenama mahal ini dijual pastinya bertong-tong ikan dapat dibeli, kata penulis. "Kepuasan tak dapat dibeli Umbai," jerit Jamal sambil menunjukkan ibu kerisi kepada penulis.

"Semua bersedia. Di bawah ada banyak merah suman. Jaga-jaga! Jangan putus atau terlucut. Nanti suman lari," Zul Gt memberi peringatan. Tanpa diduga hampir semua joran kami diragut merah suman serentak. Bunyi tali pancing disentap berirama silih berganti depan dan belakang bot.

Norihan satu-satunya pemancing wanita dalam bot kami tenang dengan kekili elektriknya menaikkan satu persatu merah suman. Suaminya, Mohd Jaib membiarkan Norihan melakukan semuanya sendiri. Mungkin Norihan berada betul-betul di atas gerombolan merah suman. Apabila saja umpan jatuh di kedalaman kira-kira 40 meter pasti joran menerima henjutan. Dengan hanya sentuhan butang pada kekili elektriknya pasti merah suman terjuntai di hujung jorannya.

Kunjungan kami di Lubuk Cincin kali ini cukup menjadi. Mungkin kami yang pertama di lubuk ini selepas musim tengkujuh. Rata-rata saiz merah suman kali ini antara 4 hingga 5 kilogram tiap seekor. Zairul paling lasak dalam kumpulan kami. Beliau paling banyak menaikkan merah suman. Penulis yang duduk berhampiran turut berkongsi keseronokan apabila kekili Penn GTI hadiah seorang sahabat dari Terengganu kerap menerima sentapan setiap kali umpan sotong jatuh ke dasar. Petang itu saja penulis berjaya menaikkan 12 merah suman.

Jamal seorang jurulatih polis di ibu kota jadi penghibur kami. Setiap kali kekili Penn Senator menjerit, beliau turut menjerit sekuat hati. Setiap kali ikan dalam gengaman, beliau akan mengejek rakan yang lain. Jamal juga akan menyanyikan lagu `Gelisah' yang dipopularkan Ahmad Jais jika umpannya tidak disentuh mangsa dari bawah bot.

Tiba-tiba Zul GT menjerit: "Angkat joran! Angkat joran! Angkat joran cepat!."

Kocakan air di belakang bot meriuhkan suasana dalam bot. Penulis hairan dengan situasi itu dan terpinga-pinga menggulung tali pancing. Rupa-rupanya merah suman yang sedang kami naikkan menarik perhatian sekumpulan ikan gerepoh bersaiz bagak. Lima ikan merah suman kami hilang sekerat badan serentak dibaham spesies pertengahan air kerana tidak sempat menaikkan ke dalam bot.

Pengalaman penulis selama 4 hari 3 malam cukup menyeronokkan. Dengan tangkapan 126 merah suman, 17 kerapu, ibu kerisi, berpuluh ikan pisang dan lain-lain tentunya kami sangat puas hati dengan hasil Lubuk Cincin.

Kami bertekad untuk kembali lagi pada September ini. Menurut Taha, pada waktu itu merah suman akan kembali ke Lubuk Cincin sebelum tengkujuh melanda hujung tahun. Sesiapa berminat untuk menyertai ekspedisi bersama Taha hubungi Zul GT:012-2644941

1 comment: