Monday, April 5, 2010

TV3, BH promosi destinasi memancing


KUALA LUMPUR: Bagi mempromosikan pelancongan dalam negara terutama destinasi memancing, TV3 dengan kerjasama Unit Joran Berita Harian akan mengadakan ekspedisi tiga hari ‘Boat on The Road’ pada 7 Mei ini.
Kini dibuka untuk pendaftaran, ekspedisi itu dijangka menarik lebih 100 penyertaan, terutama pemilik kenderaan pacuan empat roda dengan tiga lokasi memancing menjadi pilihan.
Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib, berkata ekspedisi itu berkonsepkan aktiviti keluarga dan peserta dilepaskan secara konvoi di perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama ke destinasi cadangan seperti di Lumut dan Pulau Banding, Perak; Kuala Rompin, Pahang atau Kemaman di Terengganu. Bagaimanapun destinasi yang dipilih akan diumumkan tidak lama lagi.
“Peserta disyaratkan membawa (menarik) bot gentian kaca atau aluminium sendiri ke lokasi ditetapkan,” katanya pada sidang media di Balai Berita, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Produksi Majalah dan Dokumentari TV3, Zainal Ariffin Ismail; Pengarah dan Pengacara Jelajah Joran, Nasir Yusof; Pengurus Projek Berita Harian, Mohd Mizal Hasbullah dan Editor Lidah Pengarang Berita Harian, Mohd Kamal Ahmad.
Ahmad yang juga pengerusi program berkata, ekspedisi itu juga adalah sebagai tanda kerjasama antara TV3 dengan Berita Harian yang dikenali kerana kejayaan penganjuran acara tahunan pertandingan memancing, GP Joran.
Selain itu ekspedisi itu adalah untuk mempromosikan program terbaru terbitan TV3, Jelajah Joran yang bakal menemui penonton pertengahan bulan bulan depan.
Ahmad berkata, pada ekspedisi itu, penganjur mengamalkan dasar ‘siapa cepat dia dapat’ dan mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat dengan menghubungi Unit Joran Berita Harian atau melalui sisipan Joran setiap Sabtu atau Facebook di carian Joran.
Sementara itu, Nasir berkata, rancangan Jelajah Joran dipenuhi pelbagai maklumat aktiviti memancing serta mengajar penonton mengenai etika, panduan, produk terkini dan selok-
belok memancing.
“Jelajah Joran yang disiarkan selama setengah jam memaparkan destinasi menarik seperti di Tasik Kenyir, Hutan Royal Belum dan perairan Laut China Selatan. Pada penghujung program disiarkan kaedah terkini memancing, kuiz berserta hadiah.
“Untuk menyertai kuiz, penonton perlu mendapatkan borang di sisipan Joran dan soalan yang diberikan berkisar mengenai sepanjang program berkenaan,” katanya.
Untuk maklumat mengenai ekspedisi itu, orang ramai boleh menghubungi Zainudin Ismail di talian 013-3310166 atau 03-22823131 (sambungan 4241/4242) dan Osman Lisut menerusi emel manjoran@yahooo.com atau 016-6359023.

2 comments:

  1. salam .. bila siaran TV3 nak ke udara?

    ReplyDelete
  2. utamakan pancingan rekreasi yg lebih profesional di era ini!!!

    ReplyDelete