Wednesday, March 16, 2011

Ketam Nipah Pikat Ketarap Kemaman


Mahal: Jenahak yang ditewaskan menggunakan umpan sotong seekor

Kemaman: Ketarap merupakan sejenis ikan berwarna hijau yang cantik apabila dinaikkan oleh pemancing. Warnanya yang hijau akan menjadi semakin kehijauan apabila ianya mati. Bentuk fizikalnya yang sasa dengan mempunyai rahang yang kuat serta gigi taring ternyata menjadikan ianya spesies yang banyak mendiami kawasan karang yang lembut dan batu tinggi. Spesies ini merupakan spesies yang menjadikan haiwan bercengkerang seperti ketam, siput dan kepah sebagai diet utamanya. Karang yang lembut juga menjadi salah satu makanannya kerana apabila setiap kali perutnya dibelah, sisa makanan ini sering dijumpai di dalam perutnya.
Setelah mendapat satu panggilan daripada seorang kenalan penulis yang merupakan seorang tekong yang bijak mengesan lubuk ketarap maka penulis mengajak bersamakrakan-rakan untuk memancing ketarap. Aziz, Yunus dan Chot bersetuju untuk sama-sama memancing dengan sasaran utama ialah memburu ketarap. Tiga rakan penulis ini belum pernah lagi merasa tarikan ganas spesies berwarna hijau tersebut.
Setibanya di jeti Bukit Kuang Kemaman kami disambut mesra oleh Riduan, beliau merupakan seorang tekong yang masih muda lagi tetapi ternyata bijak mengesan dasar berbatu tinggi yang dihuni oleh ketarap. Beliau sebenarnya jarang memSbawa pemancing kerana lebih selesa memancing sendirian tetapi apabila diminta oleh rakan-rakan rapat beliau mengalah juga. Umpan utama iaitu ketam nipah hidup awal-awal lagi sudah ditempah oleh Riduan untuk dijadikan umpan.


Besar: Chot (kiri) dan Yunus menunjukkan ketarap saiz besar yang beliau tewaskan

Apabila tiba di lubuk pertama iaitu yang dinamakan Karang Baru, masing-masing menurunkan umpan. Perambut yang sesuai digunakan ialah sepanjang dua depa yang berkekuatan 80 hingga 100 paun. Perambut kasar perlu digunakan untuk mengelakkan putus bergesel dengan batu kerana ketarap akan segera menyelinap masuk ke dalam batu sebaik sahaja memakan umpan. Yunus yang pertama memancing dengan penulis membuat satu sentapan kuat apabila jorannya ditarik oleh ikan. Bengkok joran beliau tetapi sekejap sahaja mangsa berjaya ditarik ke atas, seekor ketarap skala 2.5 kilogram(kg) menjadi habuan beliau. Selang beberapa ketika tekong yang berada di hadapan berjaya menewaskan ketarap skala 3 kg menggunakan koyan. Lama menanti, kami dikejutkan apabila joran Aziz melambung ke dalam air ditarik ikan, nasib baik ia diikat tetapi ikan berjaya meloloskan diri. Selain ketarap, cermin, kerapu dan tambak banyak dinaikkan menggunakan umpan hirisan sotong.


Strike serentak yang diterima oleh Chot(kiri) dan Aziz. Chot dengan ketarap 4 kg manakala Aziz ketarap 2 kg.


Menjelang petang kami singgah di Karang Domat yang berdasarkan pengalaman saya di sini biasanya dihuni oleh ketarap bersaiz besar. Tanpa menunggu lama, Chot dan Aziz menerima sentapan serentak dari dasar. joran Chot bengkok maksima ke bawah hingga hujungnya mencecah air, manakala Aziz perlahan-lahan mengarau kekilinya. Berkat kesabaran dan pengalaman Chot akhir berjaya menewaskan sekor ketarap hampir 5 kg, tersenyum puas pensyarah muda Institut Perguruan ini manakala Aziz berjaya menewaskan ketarap 2 kg. Selepas itu kami berjaya menaikkan lagi enam ekor ketarap di sini. Lubuk ini merupakan lubuk terbaik yang dihuni ketarap kerana pada trip-trip yang lepas ianya tidak pernah menghampakan.


Hijau: Rafik dengan ketarap pada kunjungan lepas


Pada waktu malam kami menghabiskan masa dengan mencandat sotong memandangkan sekarang musim sotong. Apabila berpuas hati dengan sotong, kami meminta tekong tekong melabuhkan sauh di kawasan tukun untuk memburu jenahak, tambak, gerong belang dan cermin yang banyak mendiami kawasan tukun. Jenahak dan gerong belang lebih senang dipancing menggunakan umpan sotong segar seekor yang baru dicandat. Setiap kali memancing di tukun simen, jenahak jarang mengecewakan kami semua. Sesungguhnya perairan Kemaman merupakan satu lokasi menarik sekiranya pemancing ingin memburu ketarap bersaiz besar, apa yang penting tekong mesti cekap mengesan lubuk ketarap. Setakat ini rekod ketarap 6.3 kg yang dinaikkan oleh saya belum berjaya ditewaskan oleh rakan-rakan.

Buru Jenahak Lubang Kelanang


Kelanang: Perairan pantai Kelanang yang terdekat di daerah Banting merupakan salah satu kawasan utama untuk kaki pancing memburu spesies berwarna emas itu jenahak. Jenahak di sini merupakan spesies yang sentiasa diburu oleh kaki pancing ekoran isinya yang sedap untuk hidangan keluarga, pada kebiasaanya jenahak emas di sini yang dipancing dijual dengan harga yang tinggi ekoran permintaan yang banyak. Terdapat jeti simen yang selesa telah dibina oleh pihak berwajib untuk kegunaan nelayan menyebabkan urusan semua nelayan di sini menjadi mudah.Terdapat pelbagai jenis nelayan yang mencari rezeki di perairan Kelanang seperti menjaring, memasang bubu, merawai dan memancing.

Penggunaan umpan merupakan salah satu faktor utama yang menentukan kejayaan kepada kaki pancing setiap kali memancing di sini. Umpan utama setiap kali memancing di sini ialah sotong yang ditangkap segar samada dengan cara menyauk atau mencandat. Sotong yang besar boleh dipotong kecil manakala yang kecil lebih sesuai digunakan seekor. Selain daripada itu udang hidup dan ikan segar juga boleh digunakan sebagai umpan.


Dalam satu kunjungan penulis bersama Kimi, Fadil dan Mat Tahir telah sepakat untuk sama-sama memancing di sini setelah menerima ajakan daripada Fadil yang mengatakan sekarag jenahak senang dipancing di sini. Kami berempat tiba di jeti Persatuan Nelayan Kelanang pada jam 5.00 petang menggunakan bot Pak Itam yang dikemudi oleh Hamzah dan dibantu oleh awak-awak iaitu Mady. Cuaca begitu elok semasa kami bergerak menuju ke satu boya untuk mendapatkan ikan umpan yang terdiri daripada ikan kembung, selar dan beliak mata.

Selepas maghrib Mady menjatuhkan sauh untuk mendapatkan sotong yang akan dijadikan umpan. Lampu dipasang untuk menarik minat sotong agar timbul di permukaan, Mady begitu cekap menyauk setiap sotong yang timbul dan kami juga mengambil kesempatan menurunkan candat. Setelah sotong diyakini cukup untuk digunakan sebagai umpan, tekong segera mengemudi bot ke lubuk pertama iaitu satu kawasan dasar yang berlubang. Kebanyakan jenahak di sini suka bermain di kawasan tubir setiap dasar yang berlubang semacam kawah. Tekong lebih gemar memancing secara berhanyut setiap kali tiba di sesuatu lubuk. Sotong yang kecil digunakan seekor manakala yang besar dipotong kecil, di lubang yang pertama Fadil berjaya menewaskan seekor jenahak skala tiga kilogram (3 kg) yang menelan sotong seekor dan penulis berjaya menaikkan seekor merah tanda skala 2 kg. Apabila tiada sambutan daripada ikan, tekong segera berpindah ke lubuk seterusnya. Pada jam 3.00 pagi Kimi dan Mat Tahir masing-masing berjaya menewaskan jenahak skala 3 kg dan 2 kg.

Menjelang pagi tekong meneruskan perjalanan ke sebuah lubuk yang lama beliau tidak kunjungi, di sini Mady dan penulis menerima sentapan serentak yang mana Mady berjaya menaikkan jenahak skala 4 kg manakala penulis bergaya dengan jenahak 4.7 kg. Selepas itu tekong dan Kimi pula berjaya menaikkan jenahak secara serentak. Di sini kami berjaya menaikkan lapan ekor jenahak. Dalam perjalanan pulang tekong sempat singgah di lubuk terakhir dan di sini sebanyak lima ekor jenahak skala dua hingga empat kilogram berjaya kami pancing.

Sesungguhnya perairan Kelanang masih banyak dihuni oleh spesies berwarna emas ini, apa yang penting kepakaran tekong dituntut dalam mengesan segenap lubuk jenahak. Selain daripada itu, pasang surut air serta penggunaan umpan segar juga memainkan faktor utama kerana jenahak di sini tidak berminat terhadap umpan pasar. Dalam trip singkat ini, kami berjaya menewaskan sebanyak 16 ekor jenahak skala satu hingga lima kilogram, semua ikan dibahagi samarata sebagai hidangan keluarga.